Kumpulan Hujan dinobatkan selaku juara Versus.
SHAH ALAM: Dengan undian sebanyak 50.6 peratus, kumpulan Hujan berjaya merebut gelaran juara pertandingan Versus, yang diadakan secara langsung di Space U8, Shah Alam, malam Jumaat.
Hujan telah mengalahkan kumpulan Go Gerila yang mendapat undian sebanyak. 49.6 peratus sekaligus menerima wang tunai sebanyak RM200,000.
"Alhamdulillah, kemenangan ini hasil daripada usaha kami yang tidak henti-henti sejak menyertai Versus dari minggu pertama.
"Memang kami nak menang sebenarnya, tapi tak sangka memang ia benar-benar jadi realiti kerana sebelum ini markah undian daripada penonton tak tinggi berbanding kumpulan-kumpulan lain," kata vokalis Hujan, Noh, pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.
Pada konsert tersebut, terdapat dua segmen iaitu 'medley Mash-Up' dan persembahan lagu baru.
Bagi medley 'Mash-Up', Hujan membawakan lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti, Black and Parallax (Merisik Khabar dan Sekadar Di Pinggiran), Go Gerila! (Biso Bonar dan Curiga), Sofazr (Basikal dan Inilah Nasibku) dan 6ixth Sence (Warisan dan Fiona).
Aksi Hujan yang membawakan lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti.
Manakala untuk lagu baru pula Hujan membawakan lagu Ke Selatan, Black and Parallax (Aku vs Kamu), Go Gerila (Hadiah), Sofazr (Berakhir) dan 6ixth Sence (Hossi).
Sistem penilaian Versus adalah berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan permarkahan juri profesional.
Ia membariskan penggiat muzik Jennifer Thompson selaku ketua juri, komposer Loque sebagai juri tetap dan seorang jurijemputan mingguan.
Pada setiap minggu, setiap kumpulan perlu menggubah lagu lama yang diberikan mengikut tema tertentu.
Dalam tempoh seminggu, para peserta perlu membuat persiapan dan mempersembahkan lagu tersebut pada konsert mingguan sebagai medan penilaian.
Konsert akhir Versus telah bersiaran langsung menerusi saluran TV9 itu akan diacarakan oleh Aidid Marcello dan Hunny Madu.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK