Kehilangan mengejut pembantu rumah menjejaskan kelancaran rutin harian Siti Sarah. KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah berasa fobia apabila orang gajinya meninggalkan rumah secara tiba-tiba sejak seminggu lalu tanpa sebab ataupun sebarang notis.
Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raisuddin Hamzah, 28, berkata pelbagai urusan harian terutamanya melibatkan hal penjagaan anaknya Uwais Alqarni yang berusia enam bulan, terjejas ekoran ‘kehilangan’ secara mengejut amah dari Indonesia itu.
“Saya menjadi fobia dengan insiden kehilangan pembantu rumah secara mengejut. Pada satu petang kira-kira seminggu yang lalu dia tidak pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar.
“Ketika dihubungi, dia kata ada urusan yang perlu diselesaikan dan langsung tidak pulang semula sejak itu.
“Saya agak ‘patah kaki’ kerana terpaksa meninggalkan Uwais di pusat asuhan kanak-kanak apabila hendak keluar bekerja,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Ditanya adakah dia bersikap kasar terhadap amah berkenaan sehingga menyebabkan wanita itu melarikan diri, isteri kepada pelawak Shuib (Sepahtu) ini berkata dia tidak berbuat demikian kerana menyenangi kerja pembantu rumah itu.
“Saya tidak pernah memarahi dia apatah lagi untuk memukul atau bertindak kasar. Dia bekerja dengan baik dan mengasuh anak saya dengan penuh kasih sayang. Malah, suami (Shuib) juga senang dengan tugasannya.
“Saya sendiri terkejut dan hairan dengan apa yang berlaku kerana dia tidak pernah melakukan sebarang perbuatan khianat atau mencurigakan ketika di rumah,” ujarnya.
Justeru itu, dia sudah melaporkan kehilangan amah itu kepada ejen terbabit dan kini masih menunggu pembantu rumah yang baru.
“Memang susah apabila tiada pembantu rumah kerana saya terpaksa melakukan segala urusan di rumah sendiri terutamanya hal mengasuh anak.
“Saya sudah membuat laporan kepada ejen berkenaan dan sedang menunggu amah yang baru sebagai pengganti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarah yang sedang giat mengamalkan diet dan senaman intensif bagi mengembalikan berat badan asalnya berkata, dia perlu berhati-hati dalam gerak-geri walaupun sudah tamat tempoh berpantang.
“Saya perlu berhati-hati dalam pergerakan walaupun sudah habis tempoh berpantang bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesan jahitan daripada pembedahan melahirkan Uwais.
“Saya melahirkannya melalui pembedahan, jadi saya tidak boleh lasak ketika bersenam. Sebab itu, saya mendapatkan khidmat jurulatih ketika di gimnasium,” katanya yang sudah susut berat badan sebanyak dua kilogram sejak seminggu lalu.
Oleh WAHIDUZZAMAN