PENAMPILANNYA pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2010) menarik perhatian ramai. Menggayakan catsuit rona biru turquoise daripada fabrik lycra rekaan Ariff Shukor berjaya menampakkan keseksian tubuh Farahdhiya.
Justeru tidak hairanlah andai setiap kali kelibat Farahdhiya muncul ramai jejaka akan menoleh lebih daripada sekali. Dan bagi si empunya diri, dia sendiri tidak kisah jika penampilannya itu mengundang perhatian ramai. Malah Faradhiya sendiri tidak mahu ambil peduli jika ada lelaki yang merenung atas bawah sekali gus memberikan pandangan nakal.
“Idea untuk menggayakan catsuit ini memang dari saya sendiri. Selepas berbincang dengan pereka saya, maka terhasillah pakaian ini. Saya suka dengan pemilihan warna dan saya selesa menggayakannya.
“Saya tak kisah orang nak kata apapun. Saya seorang wanita dan saya berhak untuk memilih apa saja gaya yang saya suka,” katanya yang baru muncul dengan single terbaru berjudul Kau Telah Pergi.
Dia yang cari pasal BUKAN niat untuk mengungkit cerita lama namun luahan berbentuk amarah yang ditujukan Farahdhiya kepada penyanyi dan pelakon Deja Moss di laman sosial Twitter miliknya tidak lama dulu membuatkan diri terpanggil untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi antara mereka.
Berdasarkan baris-baris ayat yang ditulis penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati itu, memang jelas tergambar betapa marahnya Farahdhiya terhadap Deja.
Sejak bila mereka bermusuhan? Apakah puncanya? Semua persoalan itu berlegar-legar dalam fikiran mereka yang membacanya. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan gosip semasa, tentunya ramai yang sedia maklum bahawa Deja dikatakan hanya mempunyai masalah dengan Norish Karman.
Namun apabila Farahdhiya ‘berani mati’ bersuara mempertikaikan tindakan Deja berhubung isu pemberian bunga seperti yang pernah digembar-gemburkan media dalam pelbagai ruangan gosip.
Hip sendiri pernah bertanyakan perkara ini kepada Deja dan selebriti kelahiran Kuching, Sarawak ini mengatakan dia sendiri tidak tahu apa masalahnya sehingga Farahdhiya sanggup mencaci dirinya di laman Twitter.
Tidak mahu hanya mendengar cerita sebelah pihak, penulis cuba mendapatkan penyanyi kacukan Melayu-Itali ini.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, kehadiran Farahdhiya ke acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) malam Ahad lalu memberi peluang untuk mencari kepastian apakah benar dia dan Deja selama ini bermusuhan.
“Saya akui kata-kata berunsur amarah itu memang saya tujukan kepada Deja. Saya amat marah dengan kenyataannya berhubung isu pemberian bunga itu. Kenapa dia tidak berterus terang apa yang berlaku dan cuba berlagak baik seolah-olah dia tidak bersalah.
“Jangan kerana dia tak puas hati dengan orang lain, saya dikaitkan dalam hal itu. Saya tahu dia memang mempunyai masalah dengan Norish dan melihat saya baik dengan Norish, dia terus membabitkan saya dalam perkara itu. Saya memang agak kurang selesa dengan caranya yang macam itu,” tegasnya.
Masih diselubungi perasaan geram, Farahdhiya terus mempertikaikan satu demi satu kenyataan yang pernah dikeluarkan Deja mengenai dirinya.
“Banyak cerita mengenai saya keluar dari mulutnya. Saya tidak faham kenapa dia mengeluarkan kenyataan kononnya dia tak baik dengan saya dan Norish kerana saya suka mengasingkan diri dan tidak mahu bercampur gaul dengan pelakon lain. Saya akui kalau berada di lokasi apapun, saya memang suka bersendiri dan buat hal sendiri. Dan yang penting, saya tetap hormat pelakon lain dan juga krew yang terbabit.
“Saya hairan kenapa dia kata saya tak baik dengannya walhal sewaktu awal-awal pementasan, kami tak ada masalah. Dia ada beri semua pelakon merasa masakannya dan saya puji masakannya itu. Tapi sekarang lain pula ceritanya,” katanya sambil menyifatkan kekeruhan ini sepatutnya tidak berlaku.
Mengulas permohonan maaf yang dibuat Deja sebelum pementasan berakhir seperti yang pernah dikatakannya sebelum ini, Farahdhiya tidak nampak keikhlasan penyanyi yang terkenal dengan lagu Asmara Ini.
“Memang dia ada memohon maaf tetapi itu ditujukan kepada semua dan bukan secara peribadi kepada saya. Cukuplah apa yang dia sudah lakukan,” kata pelakon dan penyanyi berusia 26 tahun ini. Oleh Farihad Shalla Mahmud
Terimakasih anda telah membaca artikel tentang Faradhiya Tidak Peduli Apa Orang Kata. Jika ingin menduplikasi artikel ini diharapkan anda untuk mencantumkan link https://portalakurat.blogspot.com/2011/04/faradhiya-tidak-peduli-apa-orang-kata.html. Terimakasih atas perhatiannya.