Rita Rudaini enggan berbincang secara peribadi dengan suaminya, Aidil bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar tidak berhasrat untuk terus berbincang bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak walaupun selepas dinasihati secara lisan oleh hakim mahkamah.
Rita, 36, berkata, dia tidak melihat sebarang keperluan untuk mereka berdua berbuat demikian kerana kes tersebut telah pun dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.
"Perbincangan secara peribadi rasanya tidak perlu kerana kes kami telah pun dibawa ke mahkamah," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui ketika sesi penggambaran filem Pengapit di sini pada Selasa.
Terdahulu pada prosiding 10 Julai lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menasihati pasangan itu supaya berbincang secara baik bagi menyelesaikan masalah rumah tangga sempena kedatangan bulan Ramadan.
Wan Mahyuddin turut memberitahu pihaknya tiada masalah jika mereka ingin bercerai sekiranya kemelut rumah tangga mereka gagal diselesaikan. Kes berkenaan disambung pada 7 Ogos ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Rita kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Pengapit arahan Wan Hasliza sebelum pulang berhari raya di Perlis selama seminggu.
Suami Rita, Aidil Zafuan.
Rita berkata, dia juga telah membuat persiapan awal untuk dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.
"Yang penting anak-anak dan persiapan untuk mereka semua sudah siap kerana sepanjang bulan Ramadan ini saya sibuk di lokasi penggambaran," katanya.
Tambah Rita, selepas hari raya dia akan terus kembali ke set penggambaran drama bersiri Ku Pinang Kau Dengan Bismillah serta beberapa projek lain.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI