KUALA LUMPUR – Pelakon lelaki yang meraih kemenangan anugerah TV Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 April lalu menganggap ‘kekasihnya’, Almy Nadia hanya sebagai kawan sahaja selama ini.
Menurut laporan Murai.com, Fizz Fairuz berkata, dia tidak mahu ada istilah bercinta dalam berhubungan dengan Almy Nadia.
Malah, dia lebih selesa menganggap Almy Nadia sebagai kawannya dan mengakui menyayangi wanita itu.
Bagi Fizz Fairuz juga, dia mahu dirinya dan Almy Nadia bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja memandangkan dia pernah melalui hubungan bercinta yang tidak berkekalan.
“Pada saya, kami tidak pernah bercinta dan lebih selesa mendefinisikan hubungan kami sebagai kawan. Selama ini saya berkawan dengan Almy dan saya amat menyayangi dirinya.
“Bagi saya, biarlah kami bebas berkawan dengan sesiapa dan saya tak mahu ada istilah bercinta itu kerana sebelum ini jika saya bercinta memang ianya tidak pernah kekal lama,” katanya.
Walaupun Fizz Fairuz mengakui dia hanya berkawan dengan Almy Nadia, dia masih lagi berhubungan dengan pelakon wanita itu.
Takut sekiranya hubungan cinta yang serius tidak menjadi, Fizz Fairuz tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga memandangkan dia perlu untuk melakukan persiapan kukuh untuk kehidupan berkeluarga nanti.
Selain itu, Fizz Fairuz takut untuk membuka mulut mengenai hubungannya dengan Almy Nadia kerana bimbang orang ramai akan tersalah tafsir maksud dan kata-katanya.
“Kami masih berkawan dan saya juga sering bertanyakan khabarnya. Kami tak mahu push apa-apa buat masa sekarang ini. Meskipun saya sudah bersedia untuk memikul komitmen untuk bekerluarga, namun banyak lagi yang saya perlu persiapkan untuk ke arah itu.
“Lagipun saya sudah serik untuk komen apa-apa mengenai hubungan kami takut ia akan diperbesarkan seperti sebelum ini,” kata Fizz Fairuz.