Brad Pitt
Mungkin perkara biasa jika wanita dipilih menjadi duta jenama minyak wangi yang sememangnya dikhususkan untuk kaum hawa.
Nama-nama seperti Audrey Tatou, Nicole Kidman dan Catherine Deneuve misalnya, tidak asing lagi sebagai wajah jenama wangian wanita terkenal, Chanel No 5.
Namun, buat pertama kalinya dalam sejarah, minyak wangi paling laris di dunia itu memilih seorang lelaki sebagai ikon kempen terbaru mereka.
Lelaki bertuah itu tidak lain tidak bukan, aktor kacak, Brad Pitt yang telah membuatkan hati wanita seluruh dunia cair melihat ketampanannya.
Tidak dapat dinafikan, di usia 48 tahun, pelakon kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat ini masih mampu mengekalkan karismanya di kelas tersendiri.
Meskipun agak janggal seorang lelaki mempromosikan minyak wangi wanita, pemilihan Pitt dilihat amat istimewa kerana memiliki ciri yang hampir sama dengan Chanel No 5. Brad Pitt aktor pertama ikon wangian Chanel.
“Tiada pelakon hebat seperti Brad Pitt, di mana bakat, populariti dan wajahnya adalah lagenda.
"Begitu juga dengan minyak wangi Chanel No 5 yang dicipta oleh Ernest Beaux sejak 1921, kekal menjadi pilihan wanita hinga kini,” kata jurucakap jenama itu.
Sementara itu, Pitt menyifatkan kerjasamanya dengan minyak wangi itu sebagai satu revolusi.
“Chanel No 5 selalu menjadi minyak wangi kesukaan wanita. Saya tertarik membintanginya kerana ia melebihi emosi atau kecantikan untuk membangkitkan jiwa wanita,” kata tunang kepada aktres berbibir seksi, Angelina Jolie ini.
Pitt menerima bayaran RM21 juta untuk terlibat dalam kempen Chanel No 5 termasuklah membintangi sebuah iklan komersial.
Reaksi berbeza
Berdurasi 30 saat, iklan yang dihasilkan pengarah Joe Wright itu menunjukkan Pitt berdiri sambil menuturkan kata-kata yang ditujukan buat wanita.
“Ini bukan perjalanan. Setiap perjalanan berakhir, tapi kita terus berjalan. Dunia terus berputar dan kita ikut berputar bersamanya.
"Perancangan digantikan mimpi. Tapi ke mana pun aku pergi, di situlah nasibku, takdirku. Chanel No 5, pasti,” kata Pitt dalam video itu.
Bagaimanapun, penampilan Pitt dalam iklan tersebut mendapat reaksi berbeza daripada pengunjung laman Youtube yang turut menyiarkannya.
Dalam masa 24 jam, video komersial itu mendapat 3,000 likes dan 850 dislikes.
Ada yang mengkritik penampilan Pitt berambut panjang paras bahu itu tidak sesuai mewakili Chanel No 5.
Namun, tidak kurang juga yang menyukai dan menyifatkan kemunculan Pitt sebagai sangat elegan.
Lakonan, perkahwinan
Penampilan Pitt dalam iklan komersial Chanel No 5 bukanlah satu-satunya projek yang membuatkan namanya kembali menjadi sebutan.
Hujung November ini, Pitt akan kembali beraksi di layar lebar dengan filem terbarunya, Killing Me Softly.
Filem arahan Andrew Dominik itu mengisahkan watak dipegang Pitt sebagai seorang penguat kuasa yang menyiasat kes rompakan berprofil tinggi.
Pitt sendiri sudah tidak sabar melihat satu-satunya filem lakonannya yang ditayangkan tahun ini menemui penonton.
Sekurang-kurangnya, kemunculan filem itu dapat mengubat hati Pitt yang sedikit terluka apabila tunang tercinta, Jolie memutuskan untuk menunda perkahwinan mereka.
Pasangan ini sepatutnya berkahwin tahun ini juga tetapi Jolie terpaksa menundanya kerana sibuk dengan karier seni dan kerja amal.
OLEH SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR