Iqram Dinzly mahu berhijrah secara berperingkat.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Iqram Dinzly berhasrat untuk berubah menjadi insan lebih baik seiring dengan peningkatan usianya yang kini sudah mencecah 31 tahun.
Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, kesedaran itu mula terbit sejak beberapa bulan selepas dia melihat kekacauan yang berleluasa di merata tempat ketika ini.
"Sukar untuk saya jelaskan dengan kata-kata tetapi kesedaran mula terbit sejak kebelakangan ini. Saya tidak mahu mencanangkannya kerana bimbang jika khalayak tersalah anggap.
"Saya mahu mengenali diri dan berubah ke arah kebaikan. Namun, proses hijrah ini bukan perkara remeh yang boleh dilakukan secara mengejut dan drastik. Ia perlu dilakukan secara berperingkat," katanya.
Iqram berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program pelancongan 'Korea Winter Ski & Menjejak Lokasi-Lokasi Hebat Drama Korea' anjuran Safirgotravel.com, di sini, petang Selasa.
Iqram berkata, antara perubahan besar yang dialaminya termasuklah tiada keinginan untuk keluar bersosial, menjaga batas pergaulan dan mengawal tingkah laku.
"Saya bersyukur kerana Tuhan menarik nikmat dan keseronokan duniawi yang tidak patut ada dalam diri saya selama ini.
"Namun, saya tidak pernah kesal dengan apa juga kesilapan yang pernah berlaku kerana ia adalah pengalaman yang berguna untuk saya.
"Apa yang saya harapkan selepas ini agar saya menjadi insan yang lebih baik dan dijauhi daripada kesilapan lalu," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jualan & Pemasaran Safirgotravel.com Muhamad Abd Latif berkata, Iqram menjadi pilihan pakej berkenaan berdasarkan karakternya yang peramah.
"Ini adalah kali kedua Iqram dipilih untuk mengikuti pakej pelancongan kami. Pada tahun lalu, Iqram mengikuti pakej kami ke Turki dan pada tahun ini ke Korea Selatan.
"Berdasarkan pengalaman lepas, kami berpuas hati dengan sikapnya yang peramah dan rajin melayan delegasi kami. Kerana sebab itu, dia terus menjadi pilihan kami untuk pakej pada tahun ini," katanya.
Ujarnya, selain pengalaman percutian bersama aktor itu, orang ramai turut berpeluang melawati lokasi-lokasi hebat penggambaran drama Korea antaranya Incheon, Pulau Nami, Petite France dan Sungai Han.
Pakej eksklusif itu terbuka untuk 60 orang itu dan percutian akan berlangsung pada 5 hingga 10 Disember depan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.safirgotravel.com.Oleh WAHIDUZZAMAN