BERGELAR ahli perniagaan di usia 21 tahun adalah satu  pencapaian yang agak besar bagi penyanyi genit Mila atau nama sebenarnya  Noorsyarmilla Jirin.Dalam masa yang cukup singkat, Mila berjaya menjadi ahli perniagaan  dan bergiat aktif menaikkan nama syarikatnya, seiring kariernya yang  semakin meningkat naik.
Setelah beberapa kali dilanda kisah-kisah kontroversi di sebalik  kerjayanya, Mila bagaimanapun sekali lagi berhadapan dengan situasi itu  apabila terdapat desas-desus mengatakan ada pihak yang cuba menjatuhkan  syarikat miliknya.
"Syarikat saya masih beroperasi seperti biasa, tiada istilah tutup  dan bankrap seperti yang dikhabarkan itu."Mula-mula saya mendengar berita itu, saya agak terkejut dan cuba  bertenang."Saya cuba menjadi seorang yang profesional ketika berhadapan dengan  situasi tersebut.
"Saya tahu dan kenal orang yang cuba jatuhkan nama dan syarikat saya  itu kerana dia adalah bekas pekerja saya sendiri," kata Mila selepas  sidang media "Lagu Berduit" SuriaFM di Studio V, One Utama, Damansara.Biarpun menghadapi dugaan dan rintangan yang berat, namun Mila yang  tetap tenang menghadapi situasi itu turut memberitahu dia tidak sama  sekali menyangka perbuatan itu dilakukan oleh orang yang rapat  dengannya."Saya tidak menyangka dia tergamak menjaja cerita mengenai syarikat  saya yang dikatakan telah tutup dan bankrap itu.
"Semasa bekerja dengan saya, dia merupakan orang yang  bertanggungjawab dalam urusan pemasaran syarikat."Saya percaya dan mengambil dia bekerja dengan saya kerana dia adalah  kawan baik kepada bekas pengurus peribadi saya yang dulu."Dia bekerja dengan saya hanya enam bulan sahaja, dan telah berhenti  kerja daripada syarikat saya pada bulan Jun 2009 tanpa sebarang notis.
Menurut Mila, dia sendiri tidak tahu kenapa bekas pekerjanya itu  berhenti kerja secara drastik dari syarikatnya."Saya akui sebagai majikan, kita tidak boleh menjadi seorang yang  terbaik dan saya selalu memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan  dengan pekerja-pekerja saya," kata juara Akademi Fantasia musim kelima  (AF5) ini.Mila yang ditemani pengurus peribadinya  bagaimanapun memberitahu dia  akan mengambil tindakan dengan menghantar notis kepada individu  tersebut supaya menghentikan perbuatan tersebut.
"Saya sudah berbincang dengan peguam saya dan kami dalam proses untuk  menyiapkan surat untuk dihantar kepadanya supaya menghentikan segala  fitnah yang dikeluarkan itu.
"Buat masa ini, saya tidak akan bersemuka dengannya. Tapi dia akan  terima surat daripada peguam saya."Saya sebenarnya tidak mahu membesarkan cerita ini, lagipun ia tidak  mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak. Tindakan yang saya ambil ini  pun adalah atas nasihat peguam saya," kata anak kelahiran Pulau Mutiara  ini.