 Shidee tidak  mahu isu menghina janda dibesar-besarkan.
 Shidee tidak  mahu isu menghina janda dibesar-besarkan. "
SAYA tidak berniat merendahkan maruah golongan janda," ujar  Shidee ketika diminta mengulas tentang kenyataannya di program hiburan,  Melodi, terbitan TV3 semalam di mana kenyataan berbaur kontroversi itu  dijangka boleh menimbulkan kemarahan golongan janda.
Dalam program tersebut, Shidee mengeluarkan kenyataan sensitif yang  boleh melukakan hati kaum janda. Shidee ketika diwawancara wartawan  Melodi, cuba mempertahankan pendiriannya yang mengahwini isterinya Siti  Fairunnisa Aziz dan bukan ibu mertuanya kerana "peminat dan keluarga  akan marah kalau saya berkahwin dengan janda anak dua."
Ramai yang terkilan dengan cara Shidee memperlekehkan golongan janda  sehingga tergamak berkata demikian.
Penyanyi yang popular era 80-an itu menjelaskan bahawa kenyataan  tersebut hanya ditujukan kepada ibu mertuanya semata-mata dan tidak  berniat untuk menjatuhkan martabat golongan janda yang lain.
"Saya berkata demikian kepada ibu mertua saya bukan kepada golongan  janda di luar sana. Saya ingin memberitahu bahawa saya seorang bujang  dan inginkan zuriat dan jika berkahwin dengan dia kemungkinan besar  peluang untuk mendapatkan cahaya mata adalah sukar.
"Lagi pula saya ketika itu sedang beremosi dan tidak dapat menahan  perasaan. Tapi demi Allah saya hanya tujukan kepada ibu mertua saya  sahaja. Saya tidak nafikan hak golongan janda untuk berkahwin dengan  orang bujang, itu hak mereka. Saya berkata bagi situasi saya sahaja,"  ujar jejaka berusia 51 tahun ini.
Menurut Shidee lagi, dia tidak mahu perkara ini disalah tafsir dan  dibesar-besarkan sehingga menjadi isu.
  Shidee dan  Siti Fairunnisa ketika majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Februari  lalu di Bandar Bukit Sentosa, Bukit Beruntung.
Shidee dan  Siti Fairunnisa ketika majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Februari  lalu di Bandar Bukit Sentosa, Bukit Beruntung. "Saya juga tidak mahu perkara ini disalah tafsir oleh masyarakat dan  menjadi kontroversi. Cukuplah isu pertelingkahan bersama ibu mertua saya  mencetus kontroversi.
"Saya sudah jelaskan tujuan sebenar bahawa saya ingin mencari wanita  yang belum berkahwin bukan dengan janda. Tidak terlintas untuk menguris  perasaan golongan janda," ujarnya yang tidak mahu perkara ini  dibesar-besarkan.
Ketika ditanya, adakah dia ingin meminta maaf atas kenyataan yang  dibuatnya, Shidee berkata, dia masih berpegang dengan apa yang dikata.
"Seperti yang saya katakan, kenyataan itu ditujukan kepada ibu mertua  saya saja...," jelas penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Sayang,  Semuanya Sudah Terlambat'.
Dalam pada itu juga Shidee menafikan dakwaan ibu mertuanya Jamaliah  Hassan bahawa dia seorang yang tidak bekerja, tiada rumah dan bergantung  nasib kepada Jamaliah selama ini.
"Saya kesal dengan dakwaan dia (Jamaliah). Saya mempunyai sebuah  rumah yang dibeli secara tunai di Bukit Beruntung bernilai RM60,000.  Walaupun kecil tapi saya ada rumah untuk berteduh bukan seperti yang  didakwa olehnya.
"Tuduhan-tuduhan lain yang mengatakan bahawa saya tidak berkerja dan  kaki judi serta berhutang itu adalah fitnah semata-mata namun saya  serahkan kepada Allah yang lebih mengetahui perkara itu," ujarnya yang  kini tinggal di sebuah banglo milik abang angkatnya.
Shidee dan Siti Fairunnisa Aziz, 22, telah berkahwin pada 1 Febuari  lalu di pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu dengan  berwalikan bapa saudara Siti Fairunnisa.
Bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak direstui oleh ibu Fairunnisa  iaitu Jamaliah Hassan yang telah membuat tiga laporan polis sebelum  pasangan berbeza usia 29 tahun itu dinikahkan.
Jamaliah didakwa turut memendam perasaan cinta terhadap Shidee.
Berbeza dengan sikapnya sebelum ini, dalam laporan akhbar semalam,  Jamaliah berkata dia redha dan sedia menerima Shidee dan anaknya. 
"Saya bukan ibu zalim, kalau mereka datang, saya akan terima sebagai  menantu dan anak. Tiada niat untuk saya buang anak," jelas Jamaliah  seperti yang dilaporkan di dalam  akhbar semalam.
Jamaliah juga berkata, dia kini tidak mempunyai apa-apa perasaan  terhadap Shidee dan menganggap kisah cinta mereka sebagai cerita lama.