Lagu-lagu hit Zamani Slam yang sentiasa mengamit memori dan meruntun perasaan pendengar.
MELIHAT keadaan fizikal Zamani Slam yang semakin melidi, timbul pertanyaan di kalangan peminat apakah penyanyi berusia 41 tahun ini menghidap penyakit serius yang cuba disembunyikan?
Malah ada yang nakal mengaitkan ketiadaan seorang wanita bergelar isteri di sisi untuk menemaninya antara penyebab pemuda asal Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini jadi sedemikian rupa.
Paling menyedihkan, ada yang bertindak keterlaluan apabila mengaitkan penyanyi bersuara lunak ini terbabit dengan perkara negatif. Tuduhan tanpa bukti ini tentunya agak melampau.
Sebagai penyanyi yang berpengalaman, Zamani tidak cepat melatah. Baginya, ini adalah asam garam kehidupan yang perlu dilalui oleh anak seni sepertinya.
Hadir menjayakan mini konsert sempena Gempak Santai Harian Metro di Melaka Wonderland Theme Park & Resort baru-baru ini, dia tenang menjawab persoalan yang dibangkitkan.
“Sebenarnya tiada apa yang berubah pun terhadap saya. Badan saya dari dulu pun kurus begini. Alhamdulillah, saya sihat tanpa ada penyakit yang serius. Apabila lihat keadaan saya, orang akan kaitkan puncanya dengan saya masih solo. Ia ada kemungkinan. Namun, saya tinggal dengan kakak dan tiada masalah untuk meneruskan kehidupan harian.
“Begitu juga soal jodoh kerana buat masa ini saya tiada wanita istimewa. Kawan wanita memanglah ramai. Malah ada yang salah sangka anggap saya ada hubungan istimewa dengan seorang wanita. Namun, saya senang berkawan kerana rasanya saya selesa hidup solo. Buat masa ini status solo adalah paling sesuai bagi saya,” katanya tenang disertai senyuman.
Persoalan mengenai kariernya yang kembali diterima peminat selepas beberapa ketika agak suram antara penyebab dia enggan berfikir soal jodoh buat masa ini.
“Karier saya ibarat baru nak naik semula. Lagu baru saya kini kembali diterima ramai. Jadi, saya perlu fokus sepenuhnya. Dalam situasi yang belum kukuh ini, tentunya kurang sesuai untuk saya berkahwin. Bagaimanapun, saya bukannya menolak ketentuan jodoh. Apabila dah sampai masanya, saya pasti akan berkahwin,” katanya berterus terang.
Jujur mengakui mengamalkan cara hidup sederhana berbanding ketika zaman kegemilangannya bersama Slam dahulu, Zamani sekarang lebih memikirkan masa depannya berbanding perkara lain.
“Saya akan menyanyi selagi diterima peminat. Pendapatan inilah yang digunakan untuk kehidupan seharian dan selebihnya dibuat simpanan. Saya selesa hidup sederhana. Biarlah orang nak kata apa.
“Tidak dinafikan glamor itu perlu, tetapi saya dah pernah melaluinya. Saya sekarang anggap nyanyian adalah sumber rezeki dan kehidupan perlu dilalui seperti biasa. Jikalau ada lebih saya bersyukur. Walaupun tidak macam dulu, saya gembira masih ada tawaran untuk buat show. Saya terima putaran kehidupan.
“Namun alhamdulillah kerana rezeki saya tetap ada. Soal ‘demand’ dalam bayaran juga tiada dalam kamus hidup saya. Harga yang ditetapkan memuaskan hati semua pihak yang berurusan. Saya nak semua pihak menang-menang dalam perkara ini,” katanya.
Menerusi lagu duet dengan Sharifah Zarina berjudul Tak Keruan, nama Zamani kembali meniti di bibir peminat. Dia kini tampil dengan single terbaru, Luka Dalaman yang dicipta oleh Saari Amri.
“Idea untuk bergabung tercetus ketika kami terbabit menjayakan satu persembahan di Sarawak. Kami suka-suka nak ikut stail penyanyi Indonesia yang pasti masukkan suara wanita dalam lagu mereka. Namun saya terfikir macam tidak bagus pula kalau bahagian nyanyian dia sikit sangat.
“Akhirnya saya bagi idea supaya hasilkan lagu duet untuk kami. Lagu ini dicipta oleh Bong dan paling istimewa liriknya ditulis oleh penulis lirik yang tidak asing lagi, Azam Dungun. Memang teruja apabila lagu ini disukai ramai.
“Luka Dalaman pula sebenarnya dihasilkan untuk runut bunyi sekuel filem Gerimis Mengundang yang berkemungkinan berjudul Gerimis Mengundang Lagi. Bos Erama Records, Datuk Afendi Amdan yang usulkan perkara ini. Luka Dalaman akan dimasukkan dalam album terbaru saya nanti.
“Saya juga kini masih dalam perbincangan untuk berlakon drama bersiri yang menggunakan tajuk berkaitan lagu Slam. Watak yang diberikan boleh dikatakan besar juga,” katanya yang pernah membintangi filem Bara terbitan Skop Productions pada penghujung 1990-an.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman