Aliff dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit pada bahagian dada.
PETALING JAYA: Hasrat Aliff Aziz untuk mengadakan persembahan bersempena PJ Half Marathon 2012 yang dianjurkan oleh Star Publication pada pagi Ahad tidak kesampaian apabila penyanyi kelahiran Singapura itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada.
Pengurusnya, Adlina ketika dihubungi mStar Online berkata, Aliff disahkan mengalami sesak nafas yang menyebabkan kesakitan pada bahagian dada ketika dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
"Pihak KJMC mengesahkan dia mengalami sesak nafas namun diarahkan untuk merujuk kepada pakar kardiologi di Hospital Serdang supaya dapat membuat pemeriksaan lanjut terhadap kesakitan yang dialaminya.
"Alhamdulilah keadaannya kini stabil dan masih menunggu di bilik kecemasan hospital," katanya.
Dalam pada itu, Adlina memberitahu dia tidak pasti sama ada Aliff akan ditahan di hospital atau pun sebaliknya dan ia bergantung kepada pemeriksaan pakar nanti.
"Harap-harap tiada apa yang serius menimpa dirinya dan berharap semua peminatnya dapat mendoakan kesihatan Aliff," katanya.
Sementara itu, Ekskutif Acara Star Publication, Juliana Kristini memberitahu, Aliff yang tiba di Stadium Kelana Jaya pada pukul 7.20 pagi sepatutnya mengadakan persembahan selepas berakhirnya acara itu kira-kira 8 pagi.
Bagaimanapun kata Juliana, Aliff mengadu sakit dada sebelum pihaknya memanggil pasukan bantuan perubatan yang disediakan untuk melihat kondisi penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.
"Dia baru sahaja tiba di lokasi dan tiba-tiba mengadu sakit pada bahagian dadanya dan apabila pasukan perubatan merawatnya mereka mengarahkan Aliff dibawa ke hospital kerana mereka mengesyaki dia mengalami serangan jantung," ujarnya.
Selain Aliff, penyanyi Ayu Damit turut mengadakan persembahan pada acara itu.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI